Saturday, May 8, 2021

ANALISIS KOMPONEN STANDARD GURU MALAYSIA KE ARAH MELAHIRKAN GURU MALAYSIA YANG BERTARAF DUNIA



 

Standard Guru Malaysia ialah pernyataan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru (Standard) dan pernyataan aspek yang patut disediakan serta dilaksanakan oleh agensi dan institut latihan perguruan (Keperluan). Standard Guru Malaysia digubal berdasarkan rujukan dan penandaarasan standard pendidikan di Malaysia dan standard pendidikan di beberapa negara maju. Terdapat dua komponen utama yang saing berkait rapat dalam Standard Guru Malaysia iaitu Standard (S) dan Keperluan (K).


Terdapat dua komponen dalam Standard Guru Malaysia iaitu Standard (S) dan Keperluan (K). Berdasarkan Rajah 1 dibawah, Standard merangkumi tiga aspek iaitu



Rajah 1

          📌Standard 1 - Amalan nilai profesionalisme keguruan 

📌Standard 2 - Pengetahuan dan kefahaman

          📌Standard 3 - Kemahiran Pengajaran dan Pembelajaran 

Standard 1 ialah Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan. Standard pertama ini digubal berlandaskan budaya Institut Pendidikan Guru (IPG), Tatasusila Profesion Keguruan, nilai murni dalam kurikulum sekolah, nilai utama dalam Perkhidmatan Awam, prinsip utama Etika Kerja KPM dan Tonggak Dua Belas. Standard 1 mempunyai tiga domain iaitu Domain Diri, Domain Profesion dan Domain Sosial. Domain Diri merujuk kepada pegangan nilai diri guru yang sedia ada dan patut dikembangkan supaya guru boleh memberi sumbangan yang lebih berkesan kepada profesion keguruan bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara. Domain ini memfokuskan nilai kepercayaan kepada Tuhan, amanah, ikhlas, berilmu, kasih sayang, sabar, budi bahasa, adil, bertimbang rasa, tahan lasak, cergas, aktif dan sihat, semangat sukarela dan efisien.

Domain kedua dalam Standard 1 ialah Domain Profesion. Domain ini merujuk kepada pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus oleh guru dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru yang profesional. Nilai-nilai yang ditekankan dalam domain ini ialah kecintaan terhadap profesion, berkerampilan, intergriti, teladan, mengamalkan kerja sepasukan, proaktif, kreatif dan inovatif.

Domain seterusnya dalam Standard 1 ialah Domain Sosial. Guru berperanan sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat. Nilai-nilai utama yang patut diamalkan oleh guru adalah keharmonian, kemahiran sosial, semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.

Standard 2 merujuk kepada Pengetahuan dan Kefahaman. Guru yang memiliki dan menguasai ilmu yang mantap dapat meningkatkan profesionalisme keguruan, melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta menjadi lebih kreatif dan inovatif. Guru harus menguasai bidang pengetahuan seperti teras pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, keperluan mata pelajaran, kandungan mata pelajaran yang diajar, kandungan ilmu pendidikan, teknologi maklumayt dan komunikasi, media dan sumber pendidikan dalam pelaksanaan kokurikulum, strategi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan banyak lagi aspek lain.

Seterusnya, komponen Standard yang ketiga ialah Kemahiran Pengajaran dan Pembelajaran. Standard ini memfokuskan kebolehan guru untuk membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum. Menurut Standard 3, guru harus mempunyai kemahiran menyediakan perancangan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan sukatan pelajaran dan takwimn dengan mengambil kira perbezaan kebolehan, pengetahuan sedia ada, serta jangkaan pencapaian murid. Guru juga harus mahir melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik serta mengintegrasikan kemahiran berfikir, kemahiran belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran pemudah cara dan kemahiran mentaksir dan menilai. Selain itu, guru harus mempunyai kemahiran memantau, mentaksir dan menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk memperbaik pengajaran guru dan meningkatkan pencapaian murid. Akhir sekali, guru harus mempunyai kemahiran mengurus bilik darjah yang melibatkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang dan sumber untuk mencapai pembelajaran yang bermakna dan berkesan.


Komponen seterusnya ialah Keperluan (K). Dalam komponen keperluan, agensi dan institusi perguruan patut menyediakan keperluan latihan dengan mengambil kira dasar kerajaan, peruntukan kewangan, pekeliling am dan araha pentadbiran, tuntutan serta perkembangan semasa.Terdapat lima keperluan penting latihan perguruan yang telah dikenalpasti bagi memastikan guru mencapai tahap kompetensi iaitu;



📌 Keperluan 1: Kelayakan Masuk dan Prosedur Kemasukan Program                                                 Latihan Perguruan

📌 Keperluan 2: Latihan, Pentaksiran dan Penilaian 

📌 Keperluan 3: Kolaborasi

📌 Keperluan 4: Infrastruktur dan Infostruktur

📌 Keperluan 5: Jaminan Kualiti


Komponen pertama dalam Keperluan ialah kelayakan masuk dan prosedur kemasukan program latihan perguruan. Untuk memastikan permohonan yang layak sahaja ditawarkan mengikut program latihan perguruan, agensi dan institusi latihan perguruan patut mematuhi syarat dan prosedur seperti mengiklankan permohonan, menapis semua permohonan dan memanggil calon yang layak untuk menduduki ujian kelayakan pada tahap yang ditetapkan untuk menghadiri temu duga, melaksanakan sesi temu duga calon guru, membuat tawaran kepada guru yang berjaya, mendaftar calon guru berpandukan buku panduan pendaftaran, menandatangani perjanjian latihan perguruan.

Keperluan seterusnya ialah Latihan, Pentaksiran dan Penilaian. Bagi memenuhi keperluan ini, agensi dan institut latihan perguruan patut menyediakan perkara seperti kurikulum latihan, sumber manusia yang berkelayakan dan mencukupi, program terancang bagi guru pelatih memperoleh pengetahuan dan pengalaman di sekolah dan sumber pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, institut latihan perguruan harus menyediakan pentaksiran dan penilaian berdasarkan peraturan peperiksaan dan penilaian yang sedang berkuatkuasa.

Keperluan ketiga iaitu kolaberasi merujuk kepada permuafakatan yang diwujudkan oleh agensi dan institut latihan perguruan seperti sekolah, institusi pengajian tinggi dan luar negara, serta badan bukan kerajaan seperti persatuan, unit beruniform, serta sukan dan permainan.

Keperluan yang keempat ialah Infrastruktur dan Infostruktur. Bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menyeronokan, agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan prasarana dan sumber yang lengkap dan terkini. Contohnya, kemudahan fizikal yang sesuai dan mencukupi bagi memenuhi keperluan dan kokurikulum dan kurikulum, pengurusan dan pentadbiran, serta kebajikan pelajar dan staf berdasarkan spesifikasi standard dan kos yang sedang berkuatkuasa. Infostruktur yang bersepadu juga harus disediakan untuk menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan dan pentadbiran.

Keperluan kelima ialah jaminan kualiti. Mekanisma jaminan kualiti merupakan aspek penting bagi memastikan latihan perguruan yang dilaksanakan kekal bermutu tinggi. Pemantauan, penilaian dan pelaporan perlu dibuat terhadap perkara-perkara berikut bagi menjamin kualiti latihan perguruan iaitu pemastian jaminan kualiti terhadap Standard dan  Keperluan, penandaarasan latihan perguruan dan pemastian Kod Amalan Jaminan Kualiti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dijalankan dengan amanah.

Kesimpulannya, kedua-dua komponen ini harus dilaksana bagi melahirkan guru Malaysia yang bertaraf dunia.

No comments:

Post a Comment

PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU (FPG)

Sebelum tahun 1982, Pendidikan guru di Malaysia tidak mempunyai satu falsafah yang tersurat dalam bentuk dokumentasi. Pendidikan guru yang a...